MAKLUMAT TERKINI

Selasa, 8 September 2009

Isu Parking

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Isu Parking.

Memandangkan kini bilangan kenderaan di Blok kita semakin bertambah, maka kenderaan yang memakir dibawah bangunan juga turut bertambah. Bagi mengelakkan isu ketidakselesaan lain-lain penghuni, maka saya ingin mengambil beberapa cadangan dan langkah untuk mengatasi masalah ini. Tuan / Puan juga boleh lah meng'klik' di ruang undian atau mengirimkan e-mail kepada blog ini. Insyaallah isu pakir ini akan kita selesaikan bersama.

Fakta :

Bilangan Rumah Untuk Blok B : 12 Unit
Bilangan Ruang Parkir : 17 Unit
Jumlah Kenderaan Penghuni : 15 Unit
Lebihan Unit Parkir : 2 Unit

Cadangan ;

1) Melabelkan Unit Rumah Di Tempat Parkir.
2) Parkir Luas di letakkan 2 Unit Kereta (kecuali kenderaan lebar)
3) 1 Unit Khas Parkir Diperuntukkan Untuk 1 Unit Rumah.
4) Lebihan kekosongan diperuntukkan untuk kenderaan kedua dan tetamu.
5) Pemilikan parkir perlu didaftarkan untuk tujuan melabel.
6) Pemilikan parkir dicadangkan melalui kaedah :

a. Undian
b. Pemilihan Terus
c. Kelogikan Kedudukan Kediaman Rumah

Sekian Dibangkitkan Untuk Kesejahteraan Semua

Zamakhsyari Khariri.

Hukum Kejiranan Dalam Islam

(Berikut ialah ringkasan dari buku Ustaz Emran yang bertajuk "Fiqh Kejiranan Menurut Sunnah" yang asalnya dicadangkan untuk dibuat satu perbahasan lengkap membahaskan isu kejiranan dalam Islam secara menyeluruh dan aspek-aspeknya namun memandangkan suasana Malaysia dan kurang motivasi beliau maka tidak diselesaikan dan cukuplah ringkasan ini buat manfaat orang awam).

Mukaddimah

بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله
فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ اِلاَّ وَاَنتُم مُّسلِمُونَ (آل عمران: 102)ياَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم من نَّفسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنهَا زَوجَهَا وَبَثَّ مِنهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَولاً سَدِيداً يُصلِح لَكُم اَعمَالَكُم وَيَغفِر لَكُم ذُنُوبَكُم وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد فَاز فوزا عظيما (الأحزاب:70)
.أمِّا بعد:

Kedudukan jiran sangat penting dalam Islam namun dalam kepesatan teknologi dan kemodenan manusia hari ini ramai yang sudah melupakan hak jiran dan tanggungjawab di antara satu sama lain sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

Kita lihat manusia hari ini sibuk membina rumah besar dan memasang pagar tinggi-tinggi dengan dinding tembok yang tebal sehingga memisahkan dirinya dari jiran sebelah dan hidup sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Marilah kita kembali kepada sunnah rasulullah dan ajaran Islam dalam menghidupkan masyarakat Islam dengan mengamalkan sunnah yang sudah semakin dilupakan iaitu menghidupkan semangat kejiranan.

Yang benar
emran ahmad
Omar San’a Yaman
(Jiran anda yang baik)

Jiran dalam Islam

Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.
Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :اربع
من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق
والمركب السوء“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).
Disebut oleh baginda rasulullah bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pertunjuk dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal kemasyarakatan.
Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat.
Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.
Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.
Sekiranya dia seorang yang kaya dan menghuni di perumahan mewah maka jirannya ialah mereka yang mewah dan sekiranya dia miskin dan menetap di kampung maka jirannya terdiri di kalangan mereka yang sepertinya dan ada juga yang bercampur aduk.
Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan asek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.Maksud dan Jenis Jiran Dalam IslamAllah swt telah berfirman :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).
Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah swt.
Allah menyebut (( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى)) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ali Ibn Talhah daripada Ibn Abbas ra manakala yang disebut dari riwayat Ikrimah dan Mujahid dan selain mereka yang mengatakan ianya ialah jiran muslim yang satu agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan.
Allah menyebut juga ((وَالْجَارِ الْجُنُبِ )) : iaitu yang bermaksud lawan kepada ayat sebelumnya yang sebahagian ulama tafsir menyebut ianya ialah jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan seperti pendapat Ali ibn Talhah dari Ibn Abbas ra, juga yang mengatakan ianya bukan muslim seperti jiran yahudi dan nasrani seperti yang disebut dalam riwayat dari Ikrimah dan Mujahid dan yang lain mengatakan yang dimaksudkan ialah jiran yang berjauhan rumahnya.
Dan setiap makna dari tafsir di atas dapat dipakai dan memiliki kekuatan hujah masing-masing dan dapat dirangkumi sekaligus dalam maksud ayat.(lihat tafsir Tabari m/s 175-180 Jilid 5, tafsir Qurtubi m/s 183 Jilid 5 dan Tafsir Ibn Katsir m/s 495 Jilid 1dan Tafsir Syaukani m/s 743 Jilid 1).
Kesemua makna yang tersebut di atas merangkumi makna jiran dan memiliki hak ke atas muslim yang beriman dengan Allah swt untuk berlaku baik kepada jiran baik yang beragama Islam atau bukan baik yang berhubungan darah atau yang tidak ada hubungan darah baik yang berdekatan rumah atau berjauhan.Berkata Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra : “ Maksud nama jiran itu ialah merangkumi baik yang muslim atau yang kafir, baik yang beribadah atau yang fasiq, baik rakan atau musuh, baik yang asing atau yang senegeri, baik yang memberi manfaat atau mudharat serta baik yang mempunya kekeluargaan atau yang tidak ada hubungan atau juga yang berhampiran rumahnya atau yang jauh rumahnya dan kesemuanya memiliki hak dan kedudukan antara satu sama lain..”(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).
Kedudukan jiran itu berbeza-beza martabat dan kedudukan sekalipun masing-masing memiliki hak untuk berlaku baik dan dimuliakan dan hal ini jelas daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “ Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)
Berkata Syeikh Dr Abd Aziz Ibn Fauzan ibn Soleh Al-Fauzan dalam kitabnya “Fiqh Ta’amul Ma’an Nas” bahawa kedudukan jiran itu terbahagi 3 jenis iaitu jiran yang muslim dan memiliki hubungan darah, jiran yang muslim yang tidak ada hubungan darah dan jiran yang kafir.
Demikian juga seperti yang disebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin m/s 153 Jilid 1 dan Tafsir Al-Qurtubi m/s 183 Jilid 5 serta Fathul Bari m/s 441 Jilid 10 yang menyebut bahawa terbahagi jiran itu kepada 3 jenis seperti yang disebutkan di bawah :
1) Jiran yang muslim dan berhubungan darah – Mereka ini mempunyai tiga hak iaitu hak Islam, hak kekeluargaan dan hak kejiranan
2) Jiran yang muslim tanpa hubungan darah – Mereka ini mempunyai dua hak iaitu hak muslim dan hak kejiranan.
3) Jiran yang bukan Islam – Mereka ini mempunyai satu hak iaitu hak kejiranan.
Kedudukan Jiran Menurut keutamaan
Dapat disimpulkan dari ayat surah An-Nisa dan pelbagai hadith mengenai keutamaan jiran bahawa jiran itu memiliki kedudukan berbeza mengikut keadaannya antara satu sama lain seperti yang turut disebut oleh Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).
Berikut ialah susunan kedudukan jiran yang utama dan yang diatur menurut kedudukan yang lebih berhak diberi keutamaan berbanding yang selepasnya :
1) Jiran yang muslim yang paling dekat dengan pintu rumah
Berdasarkan hadith yang banyak menyebut perihal darjat jiran yang antaranya daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)
2) Jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan
Allah berfirman :وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى“..jiran tetangga yang berhubungan dekat” (An-Nisa: 36).
Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam juga bersabda : “Sedekah ke atas orang yang miskin itu pahalanya sedekah tetapi sedekah ke atas kaum kerabat baginya dua iaitu pahala sedekah dan dapat mengeratkan hubungan” .(hadith sahih riwayat Nasaie no. 2582 dan Tirmidzi no. 658, Ibn Majah no. 1844 dan Ahmad 16276 serta Darimi dan Baihaqi juga Hakim dengan Isnad yang sahih, disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dan dihasankan oleh Tirmidzi).
3) Jiran muslim yang berilmu dan alim serta memiliki fadhilat
Allah berfirman :يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُم وَالَّذِينَ أُوتُوْا العِلْمَ دَرَجَاتِ“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).Juga dari riwayat yang dibawa oleh Imam Khatib Al-Baghdadi yang menyebut bahawa telah berkata Muhammad Al-Basri “ Diluaskan majlis (dberi penghormatan dalam majlis) kepada penghafaz Al-quran, ulama’ dan golongan tua dalam agama.”(Lihat Khatib Al-Baghdadi dalam Jami’ Akhlaq Rawi wa Adab Sima’,m/s 393).
4) Jiran muslim yang soleh dan beribadah
Allah swt berfirman :أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لاَ يَسْتَوُونَ“ Apakah keadaan orang yang beriman itu sama halnya seperti orang yang fasiq ? Sungguh mereka tidak sama” (As-Sajadah : 18).
5) Jiran yang fasiq dan ahli maksiat
Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Seorang muslim itu ialah saudara kepada muslim yang lain, tidaklah boleh dia menzaliminya dan menyerahkannya kepada musuh (untuk dianiayai)..”(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2310 dan Muslim no. 2580)
6) Jiran yang kafir
Allah swt berfirman :وَالْجَارِ الْجُنُبِ“Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh” (An-Nisa : 36).
Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda. (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).
Had Lingkungan Kejiranan
Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya secara zahir kembali kepada uruf (adat setempat).
Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya. (sila lihat dalam Fathul Qadir oleh Syaukani m/s 743 Jilid 1).
Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan had lingkungan jiran disebabkan dalil yang wujud terlalu umum berdasarkan perkataan Khalifah Ali radiallahuanhu yang menyebut : “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Bermaksud bahawa sesiapa yang dapat mendengar azan yang sama dalam satu kawasan tanpa pembesar suara maka dialah jiran.
Ada juga yang menetapkan bahawa jiran itu ialah yang berada dalam satu lingkungan yang dapat mendengar iqamah solat, sebahagian yang lain mengatakan pula jiran ialah mereka yang dapat besolat berjemaah pada waktu subuh dan Jumaat bersama-sama.
Manakala berdasarkan pendapat yang masyhur dari riwayat Aisyah ra dan para tabien seperti Hasan Al-Basri, Al-Auzaie dan Az-zuhri dan lain-lain ialah dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru. (lihat dalam Tafsir Al-Qurtubi m/s 185 Jilid 5, Fathul Bari m/s 447 Jilid 10 dan Jami Ulum Wal Hikam 347 Jilid 1).
Kesimpulannya lingkungan kejiranan kembali kepada penakrifan umum dan adat setempat yang terpakai dalam sesuatu masyarakat kerana setiap kawasan berbeza adat dan budaya. Sekurang-kurang lingkungan dan jumlah bilangan jiran ialah 40 buah rumah dari segenap sisi penjuru dan selebih-lebihnya ialah yang terpakai dan diamalkan oleh masyarakat setempat.
Kepentingan Jiran dalam Islam
Allah swt menyebut di dalam Al-Qur’an :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ
“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).
Allah memesan kepada hamba-hamba-Nya supaya menjalankan kewajipan menyembah-Nya dan juga dalam masa yang sama menjalankan kewajipan kepada sesama hamba-hamba yang lain. Bahkan di dalam kitab dan sunnah banyak sekali ayat-ayat dan hadith yang menyebut perintah menjalinkan hubungan sesama makhluk dan manusia dengan baik dan ihsan.
Adapun berkait soal jiran, di dalam Islam jiran menduduki kedudukan yang utama dan mulia disisi syarak dan perlu dipenuhi hak-hak dan kewajipan serta memuliakan mereka supaya tercapai salah satu kebahagiaan yang disebut di dalam hadith yang dinyatakan sebelum ini.
Diriwayatkan daripada Aisyah ra dan Ibn Umar ra daripada nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda : “ Selalu Jibril memesan kepadaku (supaya berlaku baik) perihal jiran sehingga aku seolah-olah menyangka mereka dapat mewarisi (harta pusaka)” .(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5668 dan Muslim no. 2624).
Jelaslah bahawa perintah Jibril di atas menyuruh berlaku ihsan dan baik kepada jiran dan melayani mereka dengan baik tanpa mengira apakah muslim atau kafir dan apakah jahat atau baik.
Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).Juga baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).
Hadith di atas sangatlah besar pengertiannya apabila rasulullah menghimpunkan keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan berlaku baik kepada jiran sekaligus bermakna iman kepada Allah itu bukanlah hanya di lisan atau hati sebaliknya mencakupi urusan amal perbuatan dan cabang-cabangnya sangatlah banyak serta salah satu dari cabang iman itu ialah memuliakan jiran dan berlaku baik kepadanya.
Demikian Al-Imam Baihaqi ra memasukkan dalam kitabnya Syabul Iman (Cabang Keimanan) dan menyebut pada cabang yang ke 67 dari cabang iman itu berdasarkan hadith 70 lebih cabang iman bahawa termasuk menghormati dan memuliakan jiran itu ialah cabang iman.
Menyayangi jiran juga termasuk dari perintah Islam seperti dalam hadith nabi yang menyebut : “ Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” .(hadith sahih riwayat Muslim no. 45).
Demikianlah disebut oleh baginda rasulullah bahawa hendaklah mencintai jiran dan memelihara hak mereka seperti mana kita mencintai diri kita sendiri dan mahu hak-hak kita dijagai dan dipelihara. Bahkan demikian itu merupakan kesempurnaan iman dan tanda sebagai seorang yang beriman kepada Allah.
Memenuhi Hak Jiran
Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama.
Berikut ialah di antara hak jiran yang wajar dipelihara :
1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran
Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47).
Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.
Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada nabi salallahualaihiwasalam akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda : “ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”.(hadith sahih riwayat Ahmad no. 9673 dan Ibn Hibban no. 5763 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 119 dan Hakim no, 7304 dengan sahih Isnad dan disepakati oleh Adz-zahabi).
2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat
Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.
Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.
Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.
3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka
Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda rasulullah : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.(hadith sahih riwayat Muslim no. 2625).
Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).
4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan
Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.
Rasulullah bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”(hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 112 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 19452 dan Hakim no, 7307 dengan isnad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi dan berkata Hafidz Al-Munziri bahawa rijalnya siqah).
Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.
5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat
Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.
Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah yang menyebut : “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5670 dan Muslim no. 46).
Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.
Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.
Sabda rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .(hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 103 dan tibrani dan berkata Hafidz Al-Munziri perawinya siqah).
Kesimpulan
Hendaklah kita semua yang beriman kepada Allah dan rasul serta hari akhirat mentaati perintah agama dalam memuliakan jiran dan menunaikan hak-hak kejiranan sebaik dan semampu yang dapat diusahakan sebagai memenuhi kewajipan sebagai seorang yang beriman.لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا“ Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).
Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.
Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).
Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.
Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.
Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.
Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.
Marilah kita bersama-sama menjadi jiran yang baik dan berdoa kepada Allah swt seperti sabda baginda : “Ya Allah berikanlah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku” .(hadith sahih riwayat Ibn Hibban no. 1033 dan Abu ya’la no. 6536 dan Ibn Abi Syaibah no. 25421 dan Hakim no. 1951 denga sanad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi).

*******
p/s :
Semoga Artikel jiran ini menyejukkan sedikit ketegangan yang berlaku di kalangan umat Islam dan memahami hakikat ukhuwah Islamiyah tidak perlu kepada jemaah untuk mengajar tentang rukun ukhuwah sebaliknya cukup sunnah dan kitab Allah.

Bagai Enau Dalam Belukar, Melepaskan Pucuk Masing-Masing

Manusia kini tidak mementingkan semangat kejiranan, mereka bersifat ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Peribahasa ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ sesuai menggambarkan sikap masyarakat kita pada masa ini. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakt kita, terutamanya warga kota, disifatkan sebagai enau dalam pepatah tersebut kerana hanya mementingkan diri sendiri dan bersikap individualistik. Natijahnya, kita lebih suka hidup menyendiri dan semangat kejiranan yang dulunya menjadi teras masyarakat kita, sudah kian pudar dan luntur. Hakikat ini amat membimbangkan kerana semangat kejiranan, yakni semangat yang dipunyai oleh ahli-ahli masyarakat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan anggota masyarakat yang lain, sangat diperlukan untuk menjamin perpaduan masyarakat.

Oleh yang demikian, kita perlu meneliti faktor-faktor yang telah menyebabkan perubahan sikap masyarakat kita. Dalam pada itu, pendidikan memainkan peranan yang penting. Peluang pendidikan yang semakin meluas telah pun berjaya menghapuskan buta huruf dan meningkatkan daya pemikirana serta pengetahuan masyarakat kita.

Namun demikian, pada masa yang sama, pendidikan juga telah mengakibatkan masyarakat mula berubah perspektif terhadap kehidupan, terutamanya generasi muda. Contohnya, melalui pendidikan, golongan belia mula memperolehi jawatan tinggi dan berpendapatan tinggi. Oleh itu, mereka berasa mereka dapat berdikari dan tidak lagi memerlukan orang lain. Mereka pula hanya mementingkan kebahagiaan dan kepentingan sendiri. Maka, mereka menumpukan semua masa mereka untuk mencari kepuasan diri dan melupakan tanggungjawab sosial mereka terhadap kebajikan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu, perkembangan masyarakat kota melalui penghijrahan kampung dan proses urbanisasi juga merupakan satu faktor yang lain. Kehidupan di kota amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di kampung. Masyarakat desa yang mementingkan semangat kejiranan dan kerjasama mula pupus dengan perkembangan bandar-bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan. Sebagai contoh, kita seringkali melihat penduduk kampung bergotong-royong untuk membina jambatan, membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya. Sikap sebegini tidak langsung wujud di kalangan warga kota kerana mereka terlalu sibuk dan hidup dalam suasana persaingan yang amat sengit.

Justeru, perbezaan sikap masyarakat juga telah disebabkan oleh pengaruh norma-norma kebaratan. Kita sedia maklum bahawa pengaruh barat meresap ke dalam kehidupan dan kebudayaan kita melalui perkembangan media massa. Kebudayaan dan cara hidup Barat yang mengagung-agungkan kebebasan individu, sikap materialistik dan mementingkan hak peribadi sebelum masyarakat sentiasa dipaparkan dalam rancangan televisyen dan radio. Masyarakat tempatan pula terlalu ingin mengikuti cara hidup barat yang liberal supaya dipandang sama taraf dari segi kemajuan sosial. Malangnya, ini telah menyebabkan kita menggadaikan nilai-nilai tradisional yang menyeru supaya kita mempertimbangkan kepentingan masyarakt dalam melakukan sesuatu perkara.

Teknologi juga telah menjadi satu lagi faktor yang menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Ini kerana, dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksmili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubungan. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah-tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi engan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak boleh berhubung antara satu sama lain dengan baik.

Struktut perumahan moden juga menyukarkan penanaman semangat kejiranan di kalangan masyarakat kita. Kebayakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok yang tinggi dan pagar-pagar. Hai ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah satu jiran daripada rumah jiran yang lain.

Kesimpulannya, kita tidak dapat menafikan bahawa semngat kejiranan semakin pudar dan luntur di kalangan masyarakat kerana pelbagai faktor. Dengan itu, kita harus menyedari hakikat ini dan menggembleng tenaga untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini kerana semangat kejiranan menjadi teras perpaduan masyarakat.

HIDUP BERJIRAN MEMBAWA BAHAGIA

Oleh : Mohd Zamir bin Bahall

Pendahuluan

Kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung sejauhmana kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Hubungannya yang erat adalah antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangun dan memajukan negara baik ketika senang mahupun susah.

Menyedari akan hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan erat di kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya.

Mengapa Kita perlu Berjiran

Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah. Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:

'..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki'. (An-Nisaa’ : 36)

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka tidak dapat tidak kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya:

Bantuan Ketika Kecemasan

Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain lagi.

Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat mlahirkan suasana seperti ini.

Menambah Kenalan

Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud:

'Wahai manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'. (Al-Hujurat : 13)

Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya. Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lain-lain lagi.

Menjamin Keselamatan Setempat

Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:

'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'. (Al-Maidah : 2)

Menjaga Keharmonian Masyarakat

Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan meragukan.

Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi bak kata pepatah Melayu 'Sediakan payung sebelum hujan'. Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan.

Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat

Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi hasrat ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa Kemajuan Pembelajaran Anak-Anak.

Jawatankuasa ini berperanan menilai pencapaian pelajaran anak-anak, mengenalpasti kelemahan dan masalah serta mengadakan program-program yang dapat meningkatkan mutu pelajaran mereka.

Di samping itu juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Insan Remaja maka pelbagai aktiviti dapat disusun bagi memenuhi keperluan dan kebajikan golongan remaja seperti kem motivasi, program jatidiri dan sebagainya. Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara.

Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:

'…dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka...' (Al-Syura : 38)

Integrasi Nasional

Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran.

Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.

Tuntutan supaya mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 'Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku'. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pedoman Berjiran

Satu realiti kehidupan pada hari ini ialah kita dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai citarasa, pandangan, minat, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa dan budaya yang berlainan dan berbeza-neza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan kerumitan.

Walau bagaiamanpun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Di samping itu, sikap-sikap yang negatif seperti berburuk sangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan.

Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai pendekatan dan amalan boleh dibuat bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya,

Bertegur Sapa

Amalan bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.

Kunjung-Mengunjung

Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.

Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu.

Menghulurkan Bantuan

Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengenepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.

Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita.

Bergotong-Royong

Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balairaya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.

Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihaar alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatupadu dan hidup harmoni sesama mereka.

Perkelahan Keluarga

Mengadakan program perkelahan keluarga adalah amalan terbaik dalam menjalinkan kemesraan penduduk setempat. Seharusnya kita memanfaatkan sebaik mungkin destinasi-destinasi pelancongan yang banyak terdapat di negara kita bagi menjayakan program ini seperti Batu Layar di Kota Tinggi, Johor, Pantai Kundur di Melaka, Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang dan sebagainya.

Banyak acara dan permainan yang boleh dijalankan dalam mengisi program perkelahan keluarga ini sama ada untuk dewasa, kanak-kanak atau keluarga seperti berebut kerusi, mencari barang, mencari harta karun, tarik tali, tiup belon dan sebagainya. Siapa sangka keseronokan yang dirasai secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan kejiranan!

Banyak lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan hubungan kejiranan seperti bertukar-tukar juadah atau kuih-muih, mengadakan kelas kemahiran seperti jahitan dan sulaman, mengadakan progran lawatan sambil belajar, mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

Apa yang penting ialah adanya kesungguhan dari dalam diri setiap daripada kita dalam mengorak langkah bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan dan seterusnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.

Kesimpulan

Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.

Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.

Mukaddimah / Pengenalan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk memudahkan kita semua penghuni blok B, Kuaters Kerajaan Jalan Kamaruddin Kuala Terengganu untuk menyampaikan apa-apa masalah, aduan, perbincangan dan semua aspek komunikasi demi memastikan hubungan sesama kita lebih bermakna. Memandangkan terdapat di kalangan kita ada yang sibuk dan sebagainya, maka dengan kewujudan blog ini sedikit sebanyak dapat menyediakan kita ruang untuk berbicara mengenai isu-isu di blok B ini.

Untuk makluman semua, blog ini akan diuruskan oleh saya sendiri, namun kita semua bebas menyuarakan sebarang pandangan dan idea berkaitan blok B kita ini. Pandangan dan kritikan hendaklah secara berhemah dan professional dan diharap segala kekurangan serta kelemahan di blok kita dapat diatasi akhirnya.

Kepada sesiapa yang mempunyai artikel untuk dimuatkan didalam blog ini juga dialu-alukan. Silalah e-mail ke alamat seperti berikut : muafakatblokb@gmail.com. Artikel tersebut hendaklah mengandungi bacaan yang baik dan berkaitan dengan blok ini. Sebarang penglibatan isu politik haruslah dielakkan.


Sekian salam hormat dan mesra selalu,

Zamakhsyari Khariri
Powered By Blogger