MAKLUMAT TERKINI

Selasa, 8 September 2009

Bagai Enau Dalam Belukar, Melepaskan Pucuk Masing-Masing

Manusia kini tidak mementingkan semangat kejiranan, mereka bersifat ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Peribahasa ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ sesuai menggambarkan sikap masyarakat kita pada masa ini. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakt kita, terutamanya warga kota, disifatkan sebagai enau dalam pepatah tersebut kerana hanya mementingkan diri sendiri dan bersikap individualistik. Natijahnya, kita lebih suka hidup menyendiri dan semangat kejiranan yang dulunya menjadi teras masyarakat kita, sudah kian pudar dan luntur. Hakikat ini amat membimbangkan kerana semangat kejiranan, yakni semangat yang dipunyai oleh ahli-ahli masyarakat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan anggota masyarakat yang lain, sangat diperlukan untuk menjamin perpaduan masyarakat.

Oleh yang demikian, kita perlu meneliti faktor-faktor yang telah menyebabkan perubahan sikap masyarakat kita. Dalam pada itu, pendidikan memainkan peranan yang penting. Peluang pendidikan yang semakin meluas telah pun berjaya menghapuskan buta huruf dan meningkatkan daya pemikirana serta pengetahuan masyarakat kita.

Namun demikian, pada masa yang sama, pendidikan juga telah mengakibatkan masyarakat mula berubah perspektif terhadap kehidupan, terutamanya generasi muda. Contohnya, melalui pendidikan, golongan belia mula memperolehi jawatan tinggi dan berpendapatan tinggi. Oleh itu, mereka berasa mereka dapat berdikari dan tidak lagi memerlukan orang lain. Mereka pula hanya mementingkan kebahagiaan dan kepentingan sendiri. Maka, mereka menumpukan semua masa mereka untuk mencari kepuasan diri dan melupakan tanggungjawab sosial mereka terhadap kebajikan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu, perkembangan masyarakat kota melalui penghijrahan kampung dan proses urbanisasi juga merupakan satu faktor yang lain. Kehidupan di kota amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di kampung. Masyarakat desa yang mementingkan semangat kejiranan dan kerjasama mula pupus dengan perkembangan bandar-bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan. Sebagai contoh, kita seringkali melihat penduduk kampung bergotong-royong untuk membina jambatan, membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya. Sikap sebegini tidak langsung wujud di kalangan warga kota kerana mereka terlalu sibuk dan hidup dalam suasana persaingan yang amat sengit.

Justeru, perbezaan sikap masyarakat juga telah disebabkan oleh pengaruh norma-norma kebaratan. Kita sedia maklum bahawa pengaruh barat meresap ke dalam kehidupan dan kebudayaan kita melalui perkembangan media massa. Kebudayaan dan cara hidup Barat yang mengagung-agungkan kebebasan individu, sikap materialistik dan mementingkan hak peribadi sebelum masyarakat sentiasa dipaparkan dalam rancangan televisyen dan radio. Masyarakat tempatan pula terlalu ingin mengikuti cara hidup barat yang liberal supaya dipandang sama taraf dari segi kemajuan sosial. Malangnya, ini telah menyebabkan kita menggadaikan nilai-nilai tradisional yang menyeru supaya kita mempertimbangkan kepentingan masyarakt dalam melakukan sesuatu perkara.

Teknologi juga telah menjadi satu lagi faktor yang menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Ini kerana, dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksmili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubungan. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah-tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi engan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak boleh berhubung antara satu sama lain dengan baik.

Struktut perumahan moden juga menyukarkan penanaman semangat kejiranan di kalangan masyarakat kita. Kebayakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok yang tinggi dan pagar-pagar. Hai ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah satu jiran daripada rumah jiran yang lain.

Kesimpulannya, kita tidak dapat menafikan bahawa semngat kejiranan semakin pudar dan luntur di kalangan masyarakat kerana pelbagai faktor. Dengan itu, kita harus menyedari hakikat ini dan menggembleng tenaga untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini kerana semangat kejiranan menjadi teras perpaduan masyarakat.

2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Tidak keterlaluan jika saya ungkapkan bahawa karekter manusia zaman sekarang di negara ini sudah terlalu mementingkan diri. Orang lain sudah seperti tidak punya harga yang tinggi untuk diberi penghormatan yang sewajarnya. Di jalan raya berebut-rebut mahu dulu meskipun giliran adalah jauh di belakang; di pejabat pos, di feri; di kaunter pembayaran bil ameniti dsb, mahu mendapatkan kontrak rasuah ditawarkan, dsb.

    Kelakuan ini jelas satu manifestasi mementingkankan diri sahaja bak enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

    Bertapaknya sikap ini di hati anak-anak adalah hasil sikap ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa sebagai guru pertama dan paling berpegaruh gagal mempamerkan sikap rendah hati, kelakuan yang santun dan/atau menghormati hak orang lain. Pastinya apabila anak-anak ini menjadi dewasa mereka akan subur dengan sikap tidak menghormati kepentingan orang lain, yang menjadi nilai dan norma sosial mereka.

    Slogan 1Malaysia Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan pastinya menjadi satu logan yang baik. Malanganya sikap pemimpin adalah bertentangan dengan semangat slogan ini makanya anak-anak muda pasti mentafsirkan masksud slogan ini seperti sikap yang dipamerkan di dalam kehidupan harian masyarakat disekeliling mereka termasuk pemimpin negara.

    BalasPadam

Ulasan atau komen tuan/puan hendaklah ditulis secara berhemah dan jujur. Sekiranya tidak ingin meletakkan nama pun tidak mengapa.

Powered By Blogger